Warga emas usahakan kebun untuk sara hidup
Muhafandi Muhamad
April 23, 2019 07:48 MYT
April 23, 2019 07:48 MYT
Kegigihan sekumpulan lapan warga emas dan ibu tunggal di Kampung Relak, Kuala Balah,
Jeli, Kelantan wajar dicontohi apabila mengusahakan kebun tembikai untuk menyara kehidupan keluarga.
Seramai enam wanita merupakan warga emas dan ibu tunggal yang kematian suami, manakala
dua orang lagi isteri mengganti tugas suami yang sakit menjadi petani untuk mencari rezeki.
Aktiviti bertani dan berkebun merupakan nadi kehidupan wanita berkenaan sejak berpuluh
tahun lalu dan kebanyakannya masih menggunakan pertanian cara tradisional.
Seawal pukul 7 pagi setiap hari, petani wanita berkenaan akan turun ke kebun berkeluasan
tiga hektar untuk melakukan aktiviti seperti membuang rumpai dan memetik buah tembikai.
Mereka masih lagi menggunakan cara pertanian tradisional apabila menggunakan cangkul
dan mengangkut air daripada sungai berhampiran untuk sumber perairan tanaman buah tembikai.
Bagaimanapun, mereka kini berdepan cabaran apabila cuaca panas berpanjangan
sejak awal tahun ini menyebabkan tanaman buah tembikai mereka kurang mengeluarkan hasil.
Setiap hari mereka hanya dapat memetik 100 kilogram hasil buah tembikai berbanding 150 kilogram sebelum ini.
"Mengusahakan kebun ini susah sikit kerana hanya seorang sahaja bekerja. Kadang-kadang ada dua orang. Kami menanam timun, jagung dan keledek.
"Semasa musim panas ini, tanaman kami tidak mengeluarkan banyak hasil kerana masalah air tidak mencukupi," kata salah seorang petani warga emas, Jamilah Abdullah.
Menurut Robiah Mohd Zain pula sebelum ini mereka dapat memetik sehingga 2,800 biji buah tembikai dan ini berbeza pada tahun ini.
"Tahun ini baru dapat petik 200 biji. Modal pun tak dapat balik sebab modal lebih RM1,000. Ini akibat musim kemarau," jelasnya.
Mereka juga berharap agar pihak berwajib membantu menyediakan saluran pam air, baja
dan benih bagi kemudahan mereka bertani.
"Makcik nak minta bantuan plastik, biji benih, baja dan kalau boleh enjin air supaya kami tidak perlu mengangkat air dengan menggunakan baldi," kata Rokiah Hamid.
Aktiviti menanam tembikai dilakukan pada bulan Februari lalu dijangka mengeluarkan
hasil selepas dua bulan setengah.
Selepas itu mereka akan menggantikan tanaman tembikai dengan mengusahakan tanaman
lain seperti jagung dan ubi keledek.