Warga emas usah takut ambil vaksin - Pakar Kesihatan
Umavathi Ramayah
Mei 28, 2021 16:42 MYT
Mei 28, 2021 16:42 MYT
PUTRAJAYA: Setakat ini, vaksin COVID-19 membuktikan ia selamat digunakan golongan warga emas termasuk yang mengalami masalah kesihatan dan komorbiditi.
Pakar Kesihatan Awam dari Sektor Kesihatan Warga Emas, Dr Sheleaswani Inche Zainal Abidin memberitahu, manfaat vaksin itu adalah jauh lebih tinggi berbanding kebarangkalian kesan sampingan daripada penerima.
Katanya, semua jenis ubat atau vaksin memberi kesan samping, tetapi kesan sampingan yang disebabkan oleh vaksin COVID-19 adalah lebih ringan dan bersifat sementara.
"Risiko untuk mendapat jangkitan adalah lebih tinggi jika tidak mendapat vaksin. Manfaat vaksin masih jauh melebihi kemungkinan terjadinya kesan sampingan," katanya kepada Astro AWANI di sini, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Sheleaswani memberitahu, sebelum sesuatu vaksin itu diluluskan, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) akan melakukan penilaian data-data saintifik, klinik dan teknikal.
Justeru katanya, warga emas terutamanya mereka yang mengalami komorbiditi adalah digalakkan untuk mengambil vaksin kerana risiko jangkitan COVID-19 adalah tinggi kepada golongan ini.
Beliau turut memaklumkan, setakat 18 Mei lalu, sebanyak 1,390 atau hampir 70 peratus daripada 1994 kematian yang direkodkan di Malaysia akibat COVID-19 adalah warga emas.
Sementara itu, seorang lagi Pakar Kesihatan Awam dari Bahagian Kawalan Penyakit, Dr Tan Seok Hong menasihati orang ramai supaya tidak memilih jenis vaksin COVID-19 yang mahu disuntik.
Ini kerana katanya, kesemua vaksin berkenaan mendapat kelulusan NPRA selepas melalui beberapa ujian.
Menurutnya, vaksin yang terbaik adalah vaksin paling awal yang kita boleh perolehi.
"Mungkin ada pandangan yang mengatakan vaksin ini tidak baik, vaksin itu tidak baik. Hakikatnya semua vaksin adalah yang terbaik daripada tidak divaksin," ujarnya lagi.
Beliau memberitahu, kemunculan pelbagai varian-varian baharu turut mengundang kebimbangan ekoran tiada gejala awal.
Walau bagaimanapun katanya, pengambilan vaksin dapat melindungi dan mengelakkan daripada jangkitan yang lebih serius.
#vaksin
#warga emas
#Kementerian Kesihatan
#NPRA
#COVID-19
#vaksinasi
#imunisasi
#kesan sampingan
#warga tua