Warga emas tumpang simpati di rumah kawan selepas diabaikan

Astro Awani
Februari 18, 2016 09:38 MYT
Che Bah tinggal sebatang kara sejak 30 tahun lalu.
Seorang warga emas berusia 77 tahun hanya mampu menumpang simpati dengan tinggal di rumah sahabat karibnya di Kampung Durian Tunggal, Alor Gajah selepas tidak lagi dipedulikan oleh ahli keluarganya.
Che Bah Mohd Amin tinggal sebatang kara sejak 30 tahun lalu selepas ditinggalkan suami, dan ibarat jatuh ditimpa tangga, dia berdepan kejadian kebakaran akibat gas meletup di rumah sewanya di Tebong Alor Gajah tahun lalu.
Kejadian itu menyebabkan hampir 80 peratus badannya terbakar dan Che Bah mengalami masalah saraf sehingga dia yang dulunya aktif dan ligat bergerak tidak mampu lagi berjalan seperti normal.
Difahamkan juga, Che Bah mempunyai seorang anak yang kini berusia 50 tahun, namun yang menyedihkan, kali terakhir Che Bah berjumpa anaknya adalah pada tahun lalu ketika dimasukkan ke hospital disebabkan kejadian yang menimpa.
"Selepas kejadian, saya kerja di kilang ayam, dan selepas pengusaha berhenti perniagaan, saya tiada kerja lagi," katanya.
Rakan karib Che Bah, Ishak Abdul Ghani, 60 tahun mula mengenali warga emas itu ketika Che Bah dan isterinya bersama bekerja di sebuah kilang ayam di Melaka.
Katanya, dia yang sememangnya mengenali Che Bah sejak 30 tahun dulu dan dia sebak ketika melawat Che Bah yang ditempatkan di sebuah Pusat Jagaan Swasta di Kuala Lumpur selepas dikeluarkan dari hospital akibat kejadian itu.
Justeru, dia dan isteri mengambil keputusan untuk membawa pulang Che Bah dan menjaganya.
Namun niat murninya itu tidak dapat diteruskan kerana tidak mempunyai pendapatan yang tetap selain terasa beban apabila terpaksa mengeluarkan belanja hampir RM1,000 sebulan bagi menampung perbelanjaan Che Bah.
Che bah yang kini sudah tidak dapat berjalan terpaksa memakai lampin pakai buang.
Justeru, Ishak memohon pihak yang bertanggungjawab untuk meringankan bebannya dengan menempatkan Che Bah di Pusat Jagaan Orang Tua.
Meskipun sedih, Ishak terpaksa melepaskan Che Bah, kerana baginya itu jalan terbaik memandangkan dia dan isteri tidak dapat memberi perhatian penuh kepada Che Bah.
Segala bentuk bantuan boleh dilakukan menerusi No Akaun Che Bah Mohd Amin (105056077242-Maybank) atau menghubungi terus di talian 011-2134 2258.
#Che Bah Mohd Amin #Kampung Durian Tunggal #warga emas
;