Warga emas tinggal seorang diri maut dalam kebakaran

Astro Awani
November 12, 2022 09:15 MYT
Kebakaran tengah malam tadi melibatkan sebuah rumah kelas B dengan anggaran keluasan 2040 kaki persegi yang dihuni seorang warga emas yang tinggal sendirian. - Foto PGO
KEPALA BATAS: Seorang lelaki warga emas maut dalam kejadian kebakaran sebuah rumah di Jalan Paya Keladi, Paya Keladi Hujung, di sini, tengah malam tadi.
Mangsa dikenali sebagai Hashim Mohd Ali, 70 tahun, yang tinggal seorang diri, dikatakan terperangkap di dalam rumah ketika api sedang marak dan tidak sempat menyelamatkan diri.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira jam 11.44 malam.
Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bertam bergegas ke lokasi kejadian dengan dibantu BBP Kepala Batas.
“Setibanya di lokasi, kami dapati terdapat sebuah rumah kelas B dengan anggaran keluasan 20×40 kaki persegi (6×12 meter persegi) terlibat dalam kebakaran itu.
“Anggaran peratusan kemusnahan akibat kebakaran itu pula adalah sebanyak 60 peratus. Terdapat seorang mangsa lelaki berusia 70 tahun meninggal dunia," katanya.
Katanya, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya kira-kira jam 12.19 tengah malam.
#warga emas maut dalam kebakaran #warga emas tinggal seorang diri #rumah terbakar #JBPM Pulau Pinang
;