Warga emas tinggal sehelai sepinggang rumah terbakar dalam hujan
Abd Razak Mohd Ali
April 29, 2021 04:49 MYT
April 29, 2021 04:49 MYT
TELUK INTAN: Sepasang suami isteri warga emas tinggal sehelai sepinggang apabila kediaman mereka musnah dijilat api dalam hujan di Kampung Bahagia di sini, petang Khamis.
Dalam kejadian sekitar pukul 5 petang semalam, suami isteri berusia lingkungan 70-an itu berjaya menyelamatkan diri sebaik saja menyedari api marak di bahagian atas rumah dua tingkat.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, ketika kejadian, dua lelaki sedang bekerja membaiki rumah mangsa.
Menurutnya, sebelum itu kedengaran dentuman petir yang kuat dan saksi telah membantu mengeluarkan pasangan suami isteri warga emas berkenaan.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan, Mohd Ismail Mohd Yunus berkata menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada pukul 5.06 petang.
Katanya, setiba di lokasi, didapati api sedang marak menyambar rumah dua tingkat yang struktur binaannya separa batu dan kayu.
"Kerja-kerja memadam kebakaran segera dilakukan di mana kita dapat mengawal kebakaran itu dari merebak dalam tempoh 30 minit.
"Kebakaran itu memusnahkan rumah berkenaan serta dua buah motosikal dan sebuah kereta Perodua Axia," katanya.
Menurutnya, 22 anggota dari BBP Teluk Intan dibantu anggota BBP Hutan Melintang dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Teluk Intan terlibat dalam operasi tersebut.
Kebakaran dipercayai akibat litar pintas semasa kilat kuat menyambar sebelum hujan lebat.
#rumah terbakar
#warga emas
#musnah dijilat api
#Kampung Bahagia
#Ahmad Adnan Basri
#Mohd Ismail Mohd Yunus
#BBP Hutan Melintang
#BBP Teluk Intan