Warga emas tidak pulang ke rumah digenangi air selama dua bulan

Bernama
Februari 7, 2023 09:15 MYT
Kenderaan dan haiwan ternakan ditempatkan di tempat yang selamat oleh penduduk ekoran pekarangan rumah mereka digenangi banjir ketika tinjauan di Kampung Tersang, Rantau Panjang. - Foto BERNAMA
PASIR MAS: Seorang warga emas Asiah Mamat, 70, tidak pulang ke rumahnya dekat Kampung Tersang, Rantau Panjang, di sini selama dua bulan, berikutan kawasan penempatannya itu masih lagi digenangi air akibat banjir yang berlaku sejak November tahun lepas.
Asiah berkata dia ketika ini terpaksa menumpang berteduh di rumah anaknya di Tanah Merah kerana sudah berasa letih untuk membersihkan rumahnya yang sering dilanda banjir setiap tahun.
"Jika sebelum ini, apabila air surut saya akan membersihkan kawasan rumah tetapi kali ini saya sudah tidak larat memandangkan usia juga semakin bertambah.
Malah, sejak banjir November tahun lalu air belum surut sepenuhnya, tiba-tiba paras air dari Sungai Lanchang dan Danau Tok Uban melimpah semula akibat hujan lebat minggu lalu," katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya, di sini pada Isnin.
Dia berkata bukan sahaja kawasan rumahnya ditinggalkan begitu sahaja malah segala peralatan dan perkakasan dapur turut dibiarkan kerana telah banyak rosak dan tidak boleh digunakan lagi akibat terlalu lama digenangi air.
Bagi Muhammad Afif Jazimin Ibrahim, 31, berkata keadaan rumahnya yang sentiasa digenangi air sejak tahun lepas menyebabkan dia berasa tidak selesa dengan bau yang kurang menyenangkan.
"Saya sekeluarga sudah lali dengan keadaan ini termasuklah kena menggunakan titi setiap hari untuk keluar masuk ke rumah, malah saya turut membina sebuah bilik yang lebih tinggi dirumah untuk meletakkan barang-barang perabot dan sebagainya," katanya.
Sementara itu, menurut laporan https://publicinfobanjir.water.gov.my/ setakat pukul 5 petang Isnin, Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas merekodkan bacaan paras amaran iaitu 8.59 meter.
-- BERNAMA
#banjir #warga emas #Asiah Mamat #Tanah Merah
;