Warga emas tidak mampu berjalan nyaris rentung dalam kebakaran
Noraniza Kamsani
April 1, 2020 11:20 MYT
April 1, 2020 11:20 MYT
Seorang warga emas yang tidak mampu berjalan nyaris rentung dalam kebakaran kediaman di Kampung Jawa, di sini, tengah malam tadi.
Mangsa Hassan Shaibi, 77, berjaya diselamatkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) yang tiba 5 minit kemudian.
Pegawai Perhubungan Awam JBPM Pahang, Anuar Hassan berkata Pusat Gerakan Operasi (PGO) menerima panggilan kecemasan kebakaran rumah di Jalan Kampung Jawa melalui sistem MERS 999.
"Jentera pertama sampai di lokasi pada jam 12.55 tengah malam dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan," katanya yang memaklumkan menerima laporan kira-kira jam 12.50 tengah malam.
"Pasukan pemadam terdiri daripada 19 anggota dengan kekuatan logistik dua jentera FRT, satu lori tangki dan satu jentera EMRS," katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.
Beliau berkata anggota bomba membuat pemadaman dengan menggunakan empat aliran hos dan empat pancutan air dari tangki pam jentera.
"Anggaran kemusnahan adalah 80 peratus.
"Terdapat seorang mangsa lelaki warga emas yang tidak dapat berjalan dan sebuah kereta Proton Perdana berjaya diselamatkan anggota bomba.
"Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya lagi.
Operasi pemadaman tamat pada jam 1.06 pagi.
Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.
Punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.
#Anuar Hassan
#bomba
#Jalan Kampung Jawa
#kebakaran
#Kuantan
#pusat gerakan operasi
#tidak mampu berjalan
#warga emas