Warga emas tersepit tangan cuba ambil gigi palsu dalam lubang tandas

Bernama
Oktober 1, 2016 23:07 MYT
Seorang wanita warga emas tersepit tangan di dalam lubang tandas ketika cuba mengambil gigi palsu miliknya yang terjatuh di situ. -Foto JBPM KL
Cubaan seorang wanita warga emas untuk mengambil gigi palsu miliknya yang terjatuh ke dalam lubang tandas membawa padah apabila beliau terjatuh dan tangan kirinya tersepit dalam lubang itu, di Anjung Singgah, Bangunan Ehsan, Jalan Hang Lekiu di sini hari ini.
Ketua Pusat Pergerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Samsol Maarif Saibani berkata panggilan berhubung kejadian yang menimpa wanita berusia 65 tahun yang juga anggota Rela itu, diterima pada 7.47 pagi.
"Tujuh anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah, bergegas ke lokasi kejadian kira-kira 10 minit kemudian," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Samsol berkata mangsa berjaya diselamatkan dan gigi palsunya juga ditemukan setelah pasukan bomba menggunakan alat pemecah konkrit bagi mengeluarkan tangan mangsa yang tersepit pada 11.32 pagi.
"Wanita itu hanya cedera ringan dan mengalami luka dan bengkak di tangan kirinya," katanya.
Beliau berkata wanita berkenaan dikhuatiri mengalami komplikasi gangren sekiranya aliran darah di tangannya tidak lancar berikutan mangsa merupakan pesakit diabetes.
Mangsa telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut. -Bernama
#Anjung Singgah #Bangunan Ehsan #gigi palsu #lubang tandas #Samsol Maarif #wanita warga emas
;