Warga emas terperangkap dalam banjir diselamatkan

Adie Sufian Zulkefli
November 1, 2021 19:41 MYT
Anggota bomba memindahkan warga emas selepas rumahnya di Kampung Makam Diraja Langgar, Alor Setar, ditenggelami air banjir hari ini. - Gambar ihsan Bomba
ALOR SETAR: Terperangkap hampir satu jam, seorang wanita warga emas diselamatkan anggota bomba selepas rumahnya di Kampung Makam Diraja Langgar di sini, ditenggelami air banjir hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Kedah menerima panggilan berhubung kejadian itu pada sekitar pukul 5.13 petang.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar dikejarkan ke lokasi.
"Operasi disertai enam anggota dengan bantuan polis dan sebuah jentera dari BBP Alor Setar.
"Sebaik tiba di lokasi didapati, paras air di lokasi kediaman rumah mangsa adalah setinggi kira-kira 1.5 meter dan mangsa berusia 60 tahun dipercayai terperangkap dalam rumah berkenaan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Mohamadul Ehsan berkata, komander operasi bersama anggota memakai peralatan perlindungan diri (PPE) lengkap menggunakan kenderaan utiliti Hilux BBP Alor Setar dan kenderaan polis berjaya memindahkan mangsa dan menyerahkan warga emas itu kepada ahli keluarganya.
#warga emas #banjir #Alor Setar #Kampung Makam Diraja Langgar
;