Warga emas terperangkap banjir kilat diselamatkan

Abd Razak Mohd Ali
Oktober 16, 2024 09:50 MYT
Wanita warga emas ini terperangkap di dalam rumah ketika berlaku banjir kilat selepas air naik kira-kira 0.5 meter, di Jalan Kampung AC Baru, Rendang Punggo, Langkap. - Foto JBPM Perak
TELUK INTAN: Anggota bomba berjaya menyelamatkan seorang warga emas yang terperangkap dalam banjir kilat di sebuah rumah di Jalan Kampung AC Baru, Rendang Punggo, Langkap, dekat sini, malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian kira-kira jam 7.35 malam.
Menurutnya, wanita itu terperangkap dalam rumah ketika berlaku banjir kilat selepas air naik kira-kira 0.5 meter.
“Komander operasi mengarahkan anggota membantu mengeluarkan mangsa dengan memimpinnya dan menghantar ke rumah warisnya yang berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan I KUP Abdul Hazhar Ismail tamat jam 8.37 malam.
#banjir #warga emas terperangkap #Langkap #JBPM Perak
;