Warga emas terkunci dalam rumah ditemukan mati

Bernama
Julai 10, 2020 04:00 MYT
Seorang wanita warga emas yang dipercayai 'terkunci' di dalam rumahnya di Jalan Hang Lekiu 6, Taman Skudai, di sini, ditemui mati, pada Jumaat. -Gambar hiasan
Seorang wanita warga emas yang dipercayai 'terkunci' di dalam rumahnya di Jalan Hang Lekiu 6, Taman Skudai, di sini, ditemui mati, pada Jumaat.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Skudai Pegawai Bomba Kanan II Mohd Fauzi Che Deris berkata, mangsa yang dikenali sebagai Zaiton Ismail, 75, tinggal berseorangan di rumah berkenaan.
"Dia (mangsa) kebiasaannya dilaporkan akan keluar dari rumah setiap pagi dan bersembang dengan jiran-jiran sekeliling, namun sewaktu kejadian (hari kejadian), kelibat mangsa tidak kelihatan.
"Berasa pelik dengan keadaan itu, jiran mangsa cuba memeriksa mangsa di rumahnya namun ternampak mangsa terbaring di atas katil, dalam keadaan tidak sedarkan diri," kata beliau dalam kenyataan, di sini, malam ini.
Menurut beliau, terkejut dengan penemuannya, jiran mangsa menghubungi bomba pada pukul 3.27 petang untuk meminta bantuan, sebelum dua jentera termasuk Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Skudai dengan kekuatan seramai 11 orang anggota digegaskan ke tempat kejadian.
"Setibanya di lokasi, didapati benar berlaku kejadian mangsa terperangkap rumah tersebut dan kita bertindak menggunakan peralatan khas bagi membuka pintu rumah mangsa.
"Menurut maklumat, mangsa mempunyai anak namun mereka bekerja di Singapura," katanya dan menambah, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
-- BERNAMA
#bomba #jiran #Mohd Fauzi Che Deris #Singapura #terkunci #warga emas #Zaiton Ismail
;