Warga emas terima Sinovac, Pfizer di Sarawak boleh mula daftar dos penggalak

Nuzuluddin Abdul Razak
Oktober 21, 2021 19:41 MYT
Warga emas 60 tahun ke atas di Sarawak yang telah melengkapkan suntikan dos vaksin Pfizer BioNTech dan Sinovac boleh mmembuat temu janji bagi mendapatkan dos penggalak di klinik swasta terlibat atau Klinik kesihatan (KK). -Foto Hiasan
KUCHING: Warga emas 60 tahun ke atas di Sarawak yang telah melengkapkan suntikan dua dos vaksin jenis Pfizer BioNTech dan Sinovac boleh mula membuat temu janji bagi mendapatkan dos penggalak (booster dose).
Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) dalam satu hantaran di Facebook rasminya pada Rabu memberitahu, temu janji boleh dibuat di mana-mana klinik swasta yang terlibat atau Klinik kesihatan (KK) berhampiran.
“Untuk penerima vaksin Sinovac, mesti sudah melepasi tiga bulan dari tarikh dos kedua diambil.
“Manakala, penerima vaksin Pfizer akan menerima dos penggalak selepas enam bulan dari tarikh dos kedua,” kata JKNS.
Sementara itu, Penasihat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Seri Dr Sim Kui Hian mencadangkan agar JKNS bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk terus menggunakan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam sebagai lokasi pendaftaran untuk dos penggalak melalui aplikasi MySejahtera.
“Melalui kaedah ini kita mahu memberikan vaksin kepada seramai mungkin rakyat Sarawak yang berisiko, selagi mereka layak dan memenuhi kriteria yang ditetapkan tidak seperti bulan Mac-April yang lalu. Sekarang kita sudah ada bekalan vaksin yang sedia untuk digunakan,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Dr Sim yang merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak percaya ini adalah waktu yang sesuai untuk pakar-pakar perubatan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Menteri Kesihatan Negara, Khairy Jamaluddin membuat keputusan mengenai pelaksanaan dos penggalak di negeri itu.
“Sarawak merupakan negeri pertama yang melengkapkan program vaksinasi maka kita akan menjadi negeri pertama yang memerlukan keputusan lanjut pelaksanaan dos penggalak.
“Kita masih menanti agar akan ada lebih banyak keputusan dibuat berhubung pemberian dos penggalak di Sarawak bukan hanya meliputi golongan warga emas berusia 60 tahun ke atas, ataupun petugas barisan hadapan sahaja,” ujarnya.
Untuk rekod, sehingga 17 Oktober lalu, JKNS melaporkan lebih kurang 11,156 dos penggalak telah diberikan kepada penduduk di negeri itu.
Maklumat lanjut mengenai lokasi PPVGP dan hospital swasta untuk pendaftaran dos penggalak di setiap daerah boleh dirujuk melalui laman Facebook Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (Rasmi).
Sementara itu, dalam sidang media pada hari ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata KKM akan melanjutkan pemberian dos penggalak cominarty keluaran Pfizer BioNtech kepada individu yang mendapat dos lengkap vaksin Sinovac, sekurang-kurangnya tiga bulan yang lalu.
“Mengambil kira data kemasukan ke hospital yang meningkat, mengambil kira juga pandangan Strategic Advisory Group of Experts (SAGE) on Immunization daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), KKM telah putuskan untuk melanjutkan pemberian dos penggalak kepada individu yang dapat dos lengkap Sinovac, sekurang-kurangnya tiga bulan yang lepas.
“Sebagai pemulaan, pemberian dos penggalak secara heterologous ini kepada individu 60 tahun ke atas, berdasarkan saranan SAGE dari WHO yang bersidang pada 4 hingga 7 Oktober 2021,” katanya.
BACA: COVID-19: Trend peningkatan pesakit membimbangkan, KKM putus pemberian dos penggalak untuk penerima Sinovac - KJ
#COVID-19 #dos penggalak #Sinovac #Pfizer BioNTech
;