Warga emas temui mayat cucu di sungai Kampung Muara Tebas
Nuzuluddin Abdul Razak
Januari 20, 2022 22:50 MYT
Januari 20, 2022 22:50 MYT
KUCHING: Hanya berbekalkan lampu suluh, seorang warga emas sanggup meredah sungai untuk mencari cucunya yang dilaporkan hilang dipercayai terjatuh ke sungai di Kampung Muara Tebas di sini.
Usahanya itu kemudian menemukan mayat cucunya, Muhammad Uwais Ismail yang berusia setahun lapan bulan berhampiran sebuah bot yang ditambat sebelum dihanyutkan air muara sungai ke laut.
Namun, ketika ditemukan kira-kira pukul 7.30 malam Rabu, kanak-kanak itu tidak sedarkan diri dan dipercayai telah meninggal dunia akibat lemas.
Warga emas itu, Rabuan Sulung, 70 tahun memberitahu dia dibantu dua orang lelaki terjun ke dalam air selepas mendengar mengenai kemalangan tersebut daripada ibu mangsa.
“Saya tidak berfikir panjang, bersama anak lelaki saya dan seorang lagi saudara kami segera terjun ke dalam air untuk mencari mangsa ketika itu keadaan dah gelap hanya berbekalkan lampu suluh.
“Syukur air semasa itu berada pada paras pinggang dan air pasang mulai surut memudahkan usaha untuk mencari dan menemukan mangsa menjumpai mangsa tersangkut di sebuah bot yang ditambat berhampiran jambatan 30 minit kemudian.
“Kami sudah berusaha sehabis baik melakukan bantuan pernafasan namun masih gagal sebelum ibu dan ayahnya bergegas ke hospital untuk bantuan lanjut,” katanya kepada pemberita.
Ibu mangsa, Sabariah Rabuan berkata kehilangan anaknya itu disedari sekitar jam 7 malam, Rabu dan usaha mencarinya dilakukan sehingga dia menyedari pintu dapur menghala ke jambatan tersebut tidak berkunci.
“Malam kejadian, saya sedang memasak dan beranggapan anak saya sedang bermain-main bersama anak saudara yang lain di ruang tamu namun sebaliknya tiada yang menyedari kehilangannya.
“Kami terus mencari sehingga ayah saya membuat keputusan untuk terjun ke sungai selepas saya memberitahu pintu dapur tidak berkunci,” katanya reda.
Jenazah anak bongsu daripada tiga adik-beradik itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Sungai Bako sekitar jam 7.40 malam, pada Khamis.
Hasil bedah siasat Hospital Umum Sarawak (HUS) mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat lemas dan paru-paru yang dipenuhi air.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah mengesahkan pihaknya telah menerima laporan mengenai kejadian pada jam 8.53 malam Rabu dan mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut (SDR).