Warga emas tampar lelaki bukan Islam dituduh semula
Astro Awani
Mac 19, 2025 15:37 MYT
Mac 19, 2025 15:37 MYT
Mahkamah Majistret pagi Rabu melepas tanpa membebaskan Abdul Razak (gambar) didakwa menampar seorang lelaki bukan Islam di sebuah kedai serbaneka di pusat membeli-belah di sini pada Ahad lalu. - Gambar/ Bernama
JOHOR BAHRU: Warga emas yang didakwa menampar seorang pemuda bukan Islam yang tidak berpuasa di sebuah pasar raya di bandar raya ini akan dituduh semula di Mahkamah Majistret pada petang Rabu.
Jabatan Peguam Negara dalam kenyataan memaklumkan pihaknya berpuas hati satu pendakwaan wajar dikenakan terhadap individu tersebut.
Menurutnya, terdapat isu teknikal berkaitan pertuduhan yang difailkan terhadap individu terbabit semasa prosiding kes berlangsung pagi tadi.
“Isu teknikal melibatkan pertuduhan telah diatasi dan individu terbabit akan dituduh semula di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada petang 19 Mac 2025,” katanya.
Menurut kenyataan itu, Jabatan Peguam Negara, berkata pihaknya komited untuk memastikan semua pihak memperoleh keadilan yang sewajarnya selaras dengan peruntukan undang-undang.
Mahkamah Majistret di sini pada pagi Rabu melepas tanpa membebaskan (DNAA) warga emas, Abdul Razak Ismail, 65, yang didakwa menampar seorang lelaki bukan Islam di sebuah kedai serbaneka di pusat membeli-belah di sini pada Ahad lalu.
Keputusan dibuat Majistret A Shaarmini selepas Timbalan Pendakwa Raya, Nur Fatihah Mohd Nizam memaklumkan kepada mahkamah berhubung arahan terbaharu untuk merujuk semula kertas siasatan kes berkenaan ke Jabatan Peguam Negara di Putrajaya.
Sebelum ini, tular video di aplikasi X yang memaparkan seorang pemuda ditegur seorang warga emas kerana didakwa makan secara terbuka pada bulan Ramadan di sebuah pusat membeli-belah di sini.
Ahad lalu, tular video di media sosial yang memaparkan seorang pemuda ditegur lelaki yang juga warga emas berkenaan kerana didakwa makan secara terbuka pada bulan Ramadan di sebuah pusat beli-belah di sini.
Berlaku ketegangan apabila warga emas berkenaan meminta pemuda itu menunjukkan kad pengenalan bagi membuktikan dia bukan beragama Islam.
Pemuda itu yang enggan menunjukkan kad pengenalan kemudian mendakwa telah dimarahi warga emas berkenaan yang kemudian turut menamparnya beberapa kali.