Warga emas strok rentung dalam kebakaran di Kepong

Astro Awani
Oktober 11, 2020 05:39 MYT
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Seorang warga emas yang strok rentung dalam kebakaran sebuah rumah teres di Kepong Baru, di sini, malam tadi.
Mangsa yang lumpuh itu ditemui maut di ruang tamu kediamannya di Jalan Helang Belakang Dua, Kepong Baru.
Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat (JBPM) Sentul Mohd Hafizan Hassan berkata pihaknya menerima maklumat kejadian kira kira jam 8.39 malam.
Seramai 35 anggota bomba dan beberapa jentera dari balai Sentul serta dari Jinjang, Hang Tuah dan Pantai bergegas ke lokasi bagi memadam kebakaran.
"Kita mengenal pasti kejadian kebakaran rumah teres, dan kita dapat maklumat ada mangsa terperangkap di dalam rumah tersebut.
"Tindakan operasi, kita jalankan kerja pemadaman secara ofensif untuk mencari mangsa.
"Seterusnya kita telah menjumpai mangsa berada di ruang tamu, seorang warga Malaysia berumur 74 tahun dan berbangsa Cina.
"Difahamkan mangsa yang terlibat mengalami penyakit strok," kata Mohd Hafizan, sambil menambah, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Mangsa berusia 74 tahun dikenali sebagai Eng Lup Chun tinggal seorang diri ketika kejadian.
Unit pengesan anjing K-9 turut dipanggil ke lokasi untuk mengenal pasti punca kebakaran.
Jumlah kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan.
#warga emas #rentung #kebakaran #Kuala Lumpur #lumpuh #strok #Sentul #bomba #Mohd Hafizan Hassan #maut #ruang tamu #Jalan Helang Belakang Dua #Kepong Baru #rumah teres
;