Warga emas sesat di ladang sawit ditemui selamat

Abd Razak Mohd Ali
Februari 6, 2022 07:15 MYT
Warga emas yang dilaporkan sesat di kawasan ladang sawitnya di Felda Ijok tengah hari semalam ditemui selamat lewat malam tadi. -Foto JBPM
SELAMA: Seorang warga emas yang dilaporkan sesat di kawasan ladang sawitnya di Felda Ijok, dekat sini, tengah hari semalam, ditemui selamat lewat malam tadi.
Ketua Polis Daerah Selama, Superintenden Mohd Sabri Saad berkata mangsa yang berusia 74 tahun juga tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurut beliau, anak mangsa membuat laporan ayahnya keluar rumah kira-kira jam 8 pagi dengan menaiki motosikal untuk membaja di ladang sawitnya.
“Sehingga jam 12 tengah hari, mangsa tidak pulang ke rumah dan isterinya memaklumkan kepada anak mereka yang kemudian bersama orang kampung keluar mencari di ladang tetapi tidak menemui mangsa atau motosikal mangsanya, sebelum membuat laporan polis pada jam 4.32 petang,” katanya dalam kenyataan awal pagi ini.
Mohd Sabri berkata, seramai 33 pegawai dan anggota polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam digerakkan jam 8.30 malam, bersama-sama 30 penduduk kampung untuk mencari mangsa.
“Mangsa ditemui dalam keadaan selamat jam 11.30 malam pada jarak tiga kilometer dari ladang miliknya,” ujarnya.
Mangsa kemudiannya telah dibawa ke hospital untuk pemeriksaan perubatan.
#warga emas #ladang sawit #Felda Ijok #Mohd Sabri Saad
;