Warga emas rugi RM50,000 terperdaya penipuan bantuan kebajikan

Bernama
Ogos 29, 2024 23:59 MYT
Rohana berkata mangsa berusia lingkungan 70-an didatangi dua lelaki menawarkan bantuan kebajikan kononnya daripada JKM. - Gambar hiasan/Astro AWANI
KAPIT: Seorang warga emas mengalami kerugian barang kemas dan wang berjumlah RM50,000 selepas terperdaya dengan penipuan tawaran bantuan, Rabu lepas.
Ketua Polis Daerah Kapit DSP Rohana Nanu berkata mangsa berusia lingkungan 70-an didatangi dua lelaki menawarkan bantuan kebajikan kononnya daripada (Jabatan Kebajikan Masyarakat) JKM.
"Bagaimanapun bagi mendapatkan bantuan itu, mangsa diminta mengeluarkan wang dari akaunnya di sebuah bank dan menyerahkan barang kemas bagi memudahkan kelulusan permohonan dengan kesemua itu akan dikembalikan setelah permohonan diluluskan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mangsa yang kemudian menyedari dirinya ditipu membuat laporan polis di Balai Polis Daerah Kapit, semalam.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
-- BERNAMA
#warga emas #jkm #penipuan bantuan kebajikan #Polis Daerah Kapit