Warga emas rugi RM205,990 diperdaya pelaburan tidak wujud

Bernama
Mei 9, 2023 21:48 MYT
Ramli berkata dengan menggunakan wang simpanan peninggalan mendiang suaminya, wanita berusia 70 tahun itu telah menyertai satu skim pelaburan yang ditawarkan menerusi laman sosial. - Gambar fail/Bernama
KUANTAN: Seorang warga emas berputih mata selepas terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud yang mengakibatkannya kerugian sebanyak RM205,990.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata dengan menggunakan wang simpanan peninggalan mendiang suaminya, wanita berusia 70 tahun itu telah menyertai satu skim pelaburan yang ditawarkan menerusi laman sosial.
"Mangsa telah membuka akaun permulaan sebanyak RM2,000 mulai 17 April lepas. Setakat 21 April sebanyak 11 transaksi telah dibuat ke akaun yang berbeza, namun wanita itu menyedari telah diperdaya setelah tidak dapat mengeluarkan wang hasil pelaburan itu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata wanita itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Ramli sehubungan itu, menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan dan membuat semakan nombor akaun dan telefon yang diterima menerusi laman web semakmule.rmp. gov.my.
-- BERNAMA
#laman sosial #pelaburan #warga emas #wang simpanan
;