Warga emas rugi RM178,700 akibat terperdaya 'phone scam'

Bernama
Ogos 22, 2024 20:53 MYT
Mangsa telah diarahkan untuk membuat pindahan ke dalam lima akaun yang berbeza dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM178,700.
SEREMBAN: Seorang warga emas kerugian RM178,700 selepas terperdaya dengan panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mengaku daripada Bahagian Pencegahan Pengubalan Wang Haram (AMLA) Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru, di Nilai semalam.
Ketua Polis Daerah Nilai Supt Abdul Malik Hasim berkata pihaknya menerima aduan daripada seorang wanita berusia 60 tahun itu pada 11.57 malam, Rabu lepas.
Beliau berkata kejadian berlaku pada 25 Julai apabila mangsa dihubungi oleh suspek yang mengaku dari cawangan AMLA, memaklumkan bahawa akaun bank warga emas itu terlibat dengan aktiviti penggubahan wang haram.
"Mangsa kemudiannya telah diarahkan untuk membuat pindahan ke dalam lima akaun yang berbeza dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM178,700.
"Pengadu menyedari ditipu selepas memaklumkan perkara tersebut kepada suaminya sebelum bertindak membuat laporan polis," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Abdul Malik berkata polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan sedang berusaha mengesan suspek terlibat untuk siasatan lanjut.
Beliau berkata orang awam dinasihatkan agar membuat semakan melalui portal Semakmule (https://semakmule.rmp.gov.my) sebelum membuat sebarang pemindahan wang bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.
-- BERNAMA
#sindiket penipuan #phone scam #warga emas #polis #pindah wang