Warga emas rugi RM105,000 ditipu sindiket Macau Scam
Astro Awani
Januari 23, 2020 10:45 MYT
Januari 23, 2020 10:45 MYT
Bimbang ditangkap polis, seorang lelaki warga emas di Tanah Rata di sini sanggup menyerahkan wang sebanyak RM105,000 kepada sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai anggota polis.
Kejadian bermula 24 Disember lalu apabila mangsa yang berusia 75 tahun menerima mesej menerusi aplikasi WhatsApp dari seorang lelaki, kononnya anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, suspek mendakwa terdapat perintah penangkapan dan pembekuan aset-aset atas nama mangsa.
"Suspek memberitahu supaya mangsa memasukkan duit sebanyak RM30,000 sebagai duit jaminan dia tidak ditangkap. Warga emas itu berasa takut dan melakukan transaksi kepada beberapa akaun berbeza.
"Transaksi berkenaan dibuat bermula pada 24 Disember hingga 16 Januari lalu ke dalam empat akaun berbeza menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM105,000," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, selepas membuat semua transaksi berkenaan, suspek menyuruh mangsa membakar resit transaksi asli atas alasan keselamatan diri pengadu.
"Suspek juga menyuruh mangsa menunggu tindakan kononnya dari pihak polis, tetapi sampai ke hari ini mangsa tidak dihubungi oleh lelaki berkenaan.
"Mangsa yang berasa ditipu kemudiannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Cameron Highlands di sini, semalam," katanya.
Mohd Wazir berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
#Cameron Highlands
#jenayah
#Macau Scam
#mangsa
#menyamar polis
#Mohd Wazir Mohd Yusof
#pembekuan aset
#perintah penangkapan
#polis
#siasatan
#suspek
#Tanah Rata
#transaksi
#warga emas
#WhatsApp