Warga emas rugi lebih RM300,000, ditawarkan projek pembalakan tidak wujud
Noraniza Kamsani
Januari 30, 2020 14:44 MYT
Januari 30, 2020 14:44 MYT
Duit simpanan seorang warga emas RM310,000 lebur apabila terpedaya dengan tawaran dua lelaki, termasuk seorang bergelar 'Datuk', mengenai tawaran pelaburan satu projek pembalakan di salah satu daerah di Pahang, yang tidak wujud.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berusia 70 tahun menyedari dirinya diperdaya selepas membuat semakan melalui pihak perhutanan dan mendapati projek terbabit tidak wujud.
Malah, katanya, surat-surat dikemukakan oleh dua suspek yang berkaitan dengan projek pembalakan itu juga adalah dokumen palsu.
"Mangsa sebelum itu ada berjumpa dengan suspek meminta supaya dipulangkan semula wang yang dilaburkan itu, namun suspek enggan memberi kerjasama.
"Berikutan itu, mangsa tampil membuat laporan polis memandangkan turut menerima mesej berbaur ugutan dan ancaman setelah membatalkan pelaburannya dalam projek tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Wazir berkata, berdasarkan rekod yang diterima, salah seorang daripada suspek menawarkan pelaburan dalam projek itu pada Oktober tahun lalu.
Menurutnya, mangsa mengenali suspek berkenaan melalui salah seorang rakannya sebelum menerima panggilan dari seorang lelaki bergelar Datuk.
"Suspek itu (Datuk) menjelaskan mengenai projek tersebut dan dana yang diperlukan untuk memulakannya
"Mangsa bersetuju dan menyerahkan sebahagian wang pelaburan berjumlah RM150,000 secara tunai pada 30 Oktober tahun lalu," katanya.
Bagaimanapun, Mohd Wazir menjelaskan, dalam tempoh 31 Oktober hingga 2 November 2019, mangsa membuat beberapa lagi pembayaran membabitkan jumlah RM40,000 melalui akaun bank salah seorang suspek.
Katanya, suspek kemudian membawa mangsa melihat tapak projek pada November tahun lalu dan pada hari yang sama, mangsa membuat bayaran tambahan RM70,000 secara tunai.
"Kerana yakin dengan projek itu, mangsa membuat beberapa lagi bayaran seperti diminta melalui pemindahan wang dengan jumlah RM50,000.
"Selepas melunaskan bayaran diminta, mangsa membuat semakan berhubung status kelulusan projek itu, tetapi ia berlaku sebaliknya," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Wazir berkata, pihaknya kini sedang mengesan suspek terlibat untuk tindakan selanjutnya.
#akaun bank
#ancaman
#dokumen palsu
#jenayah
#mangsa
#Mohd Wazir Mohd Yusof
#Pahang
#pelaburan
#pemindahan wang
#polis
#projek pembalakan
#siasatan
#simpanan
#suspek
#ugutan
#warga emas