Warga emas rogol kucing sampai mati didakwa di mahkamah

Siti Nur Aqilla Omar
April 25, 2022 11:00 MYT
Janting Anak Keling ketika tiba di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Isnin. - Astro AWANI
JOHOR BAHRU: Seorang warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas tuduhan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seekor kucing, dua minggu lalu.
Tertuduh, Janting Anak Keling, 63, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Fatimah Zahari.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii ke atas seekor kucing sehingga menyebabkan kematian ke atas haiwan terbabit.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di kawasan taman permainan dekat Taman Ungku Tun Aminah, Johor Bahru, kira-kira jam 4.30 pagi, 16 April lalu.
Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 377 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda serta sebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, S. Thiviya bagaimanapun memohon kes ditunda ke satu tarikh lain bagi serahan dokumen dan mencadangkan jaminan RM15,000 terhadap tertuduh.
Janting yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon jumlah ikat jamin itu dikurangkan memandangkan dia tidak mempunyai pekerjaan.
Tertuduh yang mendakwa berasal dari Sarawak datang ke Johor dan tinggal bersama anaknya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Mei depan bagi serahan dokumen.
#warga emas #setubuh kucing #persetubuhan luar tabii #Janting Anak Keling
;