Warga emas rogol anak kandung dan anak tiri ditahan polis

Dewi Nur Harasha Alias
Julai 5, 2020 19:04 MYT
Kejadian tersebut terbongkar setelah ibu mangsa mendapat tahu kejadian daripada pihak sekolah yang memaklumkan perubahan pelik anaknya di sekolah. - Gambar hiasan
Seorang pengawal keselamatan warga emas ditahan polis bagi membantu siasatan kes rogol anak kandungnya yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) berusia 11 tahun dan anak tirinya berusia 17 tahun dalam kejadian di Tasek Gelugor, Pulau Pinang.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata lelaki berusia 65 tahun itu ditahan Jumaat lepas selepas isterinya yang juga ibu kepada kedua-dua mangsa membuat laporan polis.
Kejadian tersebut terbongkar setelah ibu mangsa mendapat tahu kejadian daripada pihak sekolah yang memaklumkan perubahan pelik anaknya di sekolah.
Hasil soal siasat pengadu mendapati kedua-dua anaknya menjadi mangsa rogol suaminya sejak tahun 2017.
Norzainy berkata, anak tiri suspek berusia 17 tahun menjadi mangsa rogol sejak berusia 12 tahun manakala adiknya yang berusia 11 tahun dirogol sejak 2019.
Menurut Norzainy remaja itu bersama adiknya dirogol sekurang-kurangnya dua kali seminggu ketika ibunya tiada di rumah kerana bekerja.
Polis telah merakamkan percakapan kedua-dua mangsa dan mereka turut dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.
Suspek juga mengaku melakukan perbuatan tersebut sejak beberapa tahun yang lalu.
Lelaki berkenaan direman tujuh hari bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan.
Ujian air kencing turut mendapati suspek positif dadah.
#Butterworth #Dadah #Hospital #keselamatan #lelaki #mangsa #rogol #rogol anak kandung #rogol anak tiri #rumah #Seberang Perai #sekolah #warga emas
;