Warga emas rentung, tiga melecur dalam kebakaran kereta
Abd Razak Mohd Ali
Februari 8, 2024 08:20 MYT
Februari 8, 2024 08:20 MYT
TAPAH: Seorang wanita warga emas rentung manakala tiga individu, termasuk dua kanak-kanak lelaki, melecur dalam kebakaran sebuah kereta di Jalan Bidor Lama, di sini, awal pagi ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 4.49 pagi.
Menurutnya, kebakaran melibatkan sebuah kereta jenis Proton Saga yang musnah 98 peratus.
Katanya, seorang wanita warga emas yang duduk di bahagian penumpang belakang rentung dan seorang lagi wanita serta dua kanak-kanak lelaki dianggarkan berusia lapan dan lima tahun cedera melecur.
Anggota bomba mengaplikasikan konsep RECEO (menyelamat, pendedahan, penyekatan, pemadaman dan pemeriksaan) dan membuat pemadaman menggunakan dua aliran salur bantu mula air dari tangki jentera sehingga kebakaran dapat dipadam sepenuhnya.
Mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya manakala mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Tapah dengan ambulans Kementerian Kesihatan.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Zulkafli Hamad tamat jam 6.30 pagi.