Warga emas rentung terperangkap dalam kebakaran

Sinar Harian
Oktober 7, 2024 08:15 MYT
Pasukan bomba melakukan pemeriksaan susulan terdapat seorang rentung dalam kejadian kebakaran rumah di Kampung Pituru, Kudat. - Foto Bomba
KUDAT: Seorang wanita warga emas ditemukan rentung selepas kediamannya musnah dalam kebakaran di Kampung Pituru, di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, Lo Hiong Lan, 76, yang tinggal sendirian ditemukan di ruang tamu tingkat bawah rumah tersebut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, Ishak Jabas berkata, seramai tiga anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 45 kilometer dari BBP Kudat selepas menerima panggilan pada jam 8.10 malam.
"Kebakaran membabitkan sebuah rumah dua tingkat terbakar sepenuhnya dan dipadamkan orang kampung sebelum ketibaan pasukan bomba," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Katanya lagi, mangsa ditemukan rentung ketika proses pemeriksaan dan pemadaman susulan, sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
"Operasi pemadaman ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.25 pagi selepas memastikan keadaan lokasi selamat," ujarnya. - Sinar Harian
#warga emas #Kudat #rumah terbakar #wanita rentung
;