Warga emas rentung, isteri parah kebakaran rumah
Eleanor Michelle Patrick
September 28, 2021 11:07 MYT
September 28, 2021 11:07 MYT
PENAMPANG: Seorang lelaki warga emas maut manakala isterinya parah dalam insiden kebakaran yang memusnahkan rumah mereka di Kampung Gunsing Novunsu, awal pagi tadi.
Mangsa yang maut, Godfrey Tozuu Moligan, 90, dan isteri yang berusia 89 tahun dilaporkan mengalami kecederaan melecur di muka dan badan dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 3 pagi itu.
Manakala, empat lagi ahli keluarga, berusia 33 hingga 68 tahun yang tinggal di rumah sama bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang Zainal @ John Radsung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.16 pagi.
Katanya, sepasukan 10 anggota dan pegawai dikerah ke lokasi kejadian bersama jentera dan lori tangki.
“Operasi turut dibantu pasukan BBP Kota Kinabalu dan Lintas yang hadir bersama jentera untuk memadam kebakaran.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, api sudah membakar lebih separuh daripada rumah berkenaan dan operasi pemadaman segera dijalankan bagi mengawal api daripada terus merebak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, api dapat dikawal pada jam 4.24 pagi sebelum berjaya dipadam beberapa minit selepas itu.
“Sebaik api berjaya dipadamkan, pasukan bomba kemudiannya menjalankan operasi mengeluarkan mangsa daripada sebuah bilik tidur di rumah berkenaan.
“Manakala wanita yang parah pula dihantar ke Hospital Queen Elizabeth II (HQEII) untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya lagi.
Zainal berkata, operasi tamat sepenuhnya pada jam 5.56 pagi dan setakat ini punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan bahagian forensik JBPM.