Warga emas rentung dalam kebakaran di Simpang Empat, Perlis

Salim Aziz
Februari 17, 2020 17:11 MYT
Mangsa, Siti Aishah Saad, 85, ditemui rentung dalam keadaan terlentang di ruang tamu rumahnya selepas dipercayai gagal selamatkan diri berikutan pintu gril rumah yang berkunci. - Gambar hiasan
Seorang wanita warga emas rentung dalam kejadian kebakaran di Kampung Batas Lintang dekat Simpang Empat, Perlis.
Mangsa, Siti Aishah Saad, 85, ditemui rentung dalam keadaan terlentang di ruang tamu rumahnya selepas dipercayai gagal selamatkan diri berikutan pintu gril rumah yang berkunci.
Dalam kejadian kira-kira 12.25 tengah hari itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis berkata, mangsa dipercayai berusaha untuk menyelamatkan dirinya, namun gagal untuk keluar walaupun sudah berada di depan pintu utama rumahnya.
“Semasa operasi dijalankan, kita buat pencarian dan pemadaman, kita dapati seorang mangsa terlibat dalam kebakaran ini iaitu seorang warga emas perempuan berumur 85 tahun.
"Warga emas ni bukan OKU cuma dia tidak mampu untuk berjalan dengan laju,” kata Pengarah JBPM Perlis, Ruhisha Haris.
Menurut Ruhisha, bomba menerima panggilan kecemasan pada 12.29 tengah hari dan tiba ke lokasi kejadian dengan 26 kekuatan, enam minit kemudian.
Setibanya di lokasi, bomba mendapati berlaku kebakaran di sebuah rumah berpenghuni sebelum merebak ke sebuah rumah kosong berhampiran.
Api bagaimanapun dapat dikawal dalam tempoh 30 minit dan operasi tamat sepenuhnya pada 2.20 petang.
Punca kejadian masih dalam siasatan.
Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat.
Difahamkan, mangsa bersendirian dalam rumah ketika kejadian tragis itu berlaku.
#Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #kebakaran #pintu gril berkunci #Siti Aishah Saad #warga emas rentung
;