Warga emas rempuh SJR ditahan
Sinar Harian
September 3, 2021 12:07 MYT
September 3, 2021 12:07 MYT
PASIR MAS: Petugas di sekatan jalan raya (SJR) di hadapan Pondok Polis Chekok, Tok Uban di sini dikejutkan dengan tindakan seorang warga emas yang memandu Perodua Myvi merempuh papan amaran yang diletakkan di laluan itu, pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, kejadian jam 5.30 petang itu berlaku ketika warga emas berusia 60 tahun itu memandu dari arah Tanah Merah menghala ke Pasir Mas untuk pulang ke rumahnya di Melor, Kota Bharu.
"Hasil maklumat diperoleh berkaitan kejadian itu, polis melakukan tangkapan ke atas lelaki tersebut di pekarangan Balai Polis Melor.
"Semasa tangkapan dilakukan polis merampas Perodua Myvi yang digunakan semasa kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, semasa tiba di kawasan Chekok hujan yang terlampau lebat menyebabkan lelaki tersebut gagal mengelak papan amaran SJR.
Beliau berkata, hasil soal siasat awal, lelaki yang bekerja sebagai petani itu mempunyai masalah rabun akibat selaput pada bahagian mata.
Mohd Nasaruddin berkata, selepas menyedari kejadian tersebut lelaki itu meneruskan perjalanan memandangkan keadaan hujan lebat menyebabkan dia tidak dapat berhenti.
Katanya, warga emas itu menjelaskan tujuannya ke Tanah Merah untuk membeli alat ganti mesin baja miliknya yang telah rosak.
"Semakan mendapati lelaki itu mempunyai surat kebenaran rentas daerah dari Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).
"Lelaki itu didapati telah menerima dua dos suntikan vaksin COVID-19 dan saringan awal air kencing mendapati lelaki itu negatif dadah dan tidak mempunyai sebarang rekod lampau jenayah," katanya.
Menurutnya, warga emas tersebut dibebaskan dengan jaminan polis pada Jumaat.
*Berita asal di Sinar Harian