Warga emas pitam sebelum Myvi rempuh kubur
Shuhada Abdul Kadir
Februari 17, 2022 20:13 MYT
Februari 17, 2022 20:13 MYT
SEREMBAN: Seorang wanita warga emas yang memandu Perodua Myvi dan terbabas dalam kejadian di Tanah Perkuburan Islam Forest Heights dekat Senawang di sini, didakwa mengalami kekurangan gula dalam darah dan pitam sehingga gagal mengawal kenderaan dipandunya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, wanita berusia 60 tahun berkenaan dikatakan baru sahaja selesai menziarahi kubur arwah suaminya di tanah perkuburan itu seorang diri.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, warga emas itu secara tiba-tiba pitam di dalam kenderaan sehingga menyebabkan kenderaan yang dipandunya telah bergerak ke hadapan.
“Ketika hendak bergerak keluar dari tanah perkuburan tersebut, pemandu kenderaan itu berada dalam keadaan kekurangan gula dalam darah dan pitam sebelum pitam di daLam kenderaannya.
“Situasi itu menyebabkan kereta yang dipandu bergerak ke hadapan secara tidak sengaja dan melanggar dua tapak perkuburan di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini.
Terdahulu, tular beberapa gambar yang memaparkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dipercayai terbabas di dalam kawasan tanah perkuburan Islam.
Mengulas lanjut Nanda berkata, insiden itu menyebabkan dua tapak perkuburan mengalami kerosakan manakala wanita warga emas terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kereta dipandu itu juga hanya mengalami kerosakan kecil di bahagian hadapan dan pemandu wanita telah pun menerima rawatan yang sewajarnya.
“Anak kepada wanita warga emas itu juga telah hadir membuat laporan dan memaklumkan akan bertanggungjawab untuk membaiki segala kerosakan melibatkan tapak perkuburan terjejas,” katanya.