Warga emas parah, terima 16 jahitan ditetak penyamun di Kajang

Afiezy Azaman
Disember 12, 2018 11:10 MYT
Mangsa yang cedera di kepala menerima 16 jahitan selepas dirawat di klinik swasta berhampiran. - Foto PDRM
Polis sedang memburu tiga suspek yang terlibat dalam kejadian samun seorang wanita warga emas berusia 63 tahun di Taman Megah Batu 9 Cheras, Kajang, awal pagi.
Mangsa juga terpaksa menerima 16 jahitan di kepala selepas dirawat di klinik berhampiran.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata dalam kejadian pukul 2.50 pagi itu, mangsa yang baru tiba di rumahnya diserang sekumpulan lelaki bersenjata.
“Tiga lelaki warga tempatan menaiki dua buah motosikal telah masuk ke pekarangan rumah mangsa.
“Suspek yang bersenjatakan parang telah menghampiri mangsa lalu menetak kepalanya dan melarikan beg tangan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ahmad Dzaffir berkata mangsa yang cedera parah di kepala menerima 16 jahitan selepas dirawat di klinik swasta berhampiran.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu tampil memberi keterangan atau berhubung dengan pegawai penyiasat IPD Kajang, Inspektor Fazilatulaida di talian 012-2667402.
“Kes disiasat dibawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya.
#Ahmad Dzaffir Mohd Yussof #jahitan #Ketua Polis Kajang #PDRM #penyamun #polis #Taman Megah #warga emas