Warga emas OKU rentung dalam kebakaran
Aida Aziz
Mei 2, 2019 10:59 MYT
Mei 2, 2019 10:59 MYT
Seorang wanita kurang upaya (OKU) warga emas ditemui rentung di dalam rumahnya dalam satu kebakaran di Kampung Baru Buntong, di sini pada Khamis.
Lee Soo Nooi, 66 tahun, yang buta mata sebelah kiri akibat kemalangan di tempat kerja hampir 20 tahun lalu, tinggal di rumah berkenaan bersama kakaknya.
Kakaknya bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri ketika kejadian.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh, Mohd Subri Hussin pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 6.56 pagi sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian.
Ujarnya, operasi pemadaman dilakukan bagi mengelakkan kebakaran merebak ke rumah bersebelahan disebabkan jarak terlalu dekat.
Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal lima minit kemudian sebelum pihaknya menemui mayat di atas katil di dalam bilik rumah berkenaan.
"Mayat rentung 95 peratus manakala kebakaran itu menyebabkan kemusnahan 70 peratus pada rumah tersebut.
"Kakak mangsa yang berumur 71 tahun berjaya menyelamatkan diri dan kita berjaya memadamkan kebakaran kira-kita jam lapan pagi.
"Bomba menyerahkan mayat kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian bersama Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Azmi Osman.
Mohd Subri menjelaskan, punca kejadian masih belum dikenal pasti dan siasatan oleh unit forensik kebakaran sedang dijalankan.