Warga emas, OKU pedalaman keluar beli keperluan dikompaun, Adun Melalap tampil bantu
Syah Hairizal Kamalul Arifin
Februari 2, 2021 20:45 MYT
Februari 2, 2021 20:45 MYT
KOTA KINABALU: "Atas nilai kemanusiaan, saya rasa terpanggil untuk membantu mereka membayar kompaun tersebut," jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melalap, Datuk Peter Anthony.
Beliau mengulas mengenai tindakannya membayar kompaun dikenakan terhadap lapan warga emas dan orang kurang upaya (OKU) yang tinggal di kawasan pedalaman di Tenom kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika keluar membeli barangan keperluan.
Katanya, beliau faham situasi yang dihadapi penduduk khususnya yang tinggal di kawasan pedalaman termasuk semua lapan warga emas terbabit.
Jelasnya kebanyakan penduduk pedalaman tidak mempunyai akses Internet dan televisyen untuk mengikuti perkembangan semasa terutama yang berkaitan dengan SOP sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Atas nilai kemanusiaan, saya rasa terpanggil untuk membantu mereka untuk membayar kompaun tersebut kerana saya memahami situasi dan keadaan penduduk kampung yang tinggal jauh dari kawasan pekan," katanya di laman Facebook pada Selasa.
Menurut Peter, lapan orang penduduk Kampung Angalor, Tenom terdiri daripada warga emas dan OKU itu masing-masing telah dikompaun RM1,000 pada 27 Januari lepas.
"Mereka terdiri daripada warga emas dan OKU yang terpaksa turun ke Pekan Tenom untuk membeli bekalan makanan dan ubat-ubatan.
"Hari ini saya sempat pergi ke bank dan terus bergegas ke Hospital Tenom untuk membantu melangsaikan kompaun tersebut.
"Saya sempat menasihati mereka agar sentiasa mematuhi SOP pada masa akan datang. Semoga pertolongan kecil ini akan meringankan beban penduduk yang terlibat," katanya
Tambahnya beliau berharap agar kejadian ini akan memberi iktibar kepada semua agar sentiasa mematuhi SOP dan saling mengambil berat antara satu sama lain bagi melandaikan lengkuk jangkitan COVID-19.
#warga emas
#OKU
#pedalaman
#Tenom
#Kampung Angalor
#ingkar
#SOP
#COVID-19
#PKP
#ADUN
#dikompaun
#malalap