Warga emas OKU maut dalam kebakaran rumah

Abd Razak Mohd Ali
Februari 9, 2020 15:58 MYT
Dua anggota bomba sedang memadamkan api sebuah rumah yang terbakar di Kampung Ara Payung, Batu Gajah pada Isnin.
Seorang warga emas maut dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Ara Payung, dekat sini, hari ini.
Mangsa, Alang Halimah Amban, 65, yang 60 peratus tubuhnya melecur merupakan seorang cacat penglihatan.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perak, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 1.11 tengahari.
Katanya, kejadian melibatkan sebuah rumah kelas C berkeluasan 30 X 25 yang musnah terbakar 90 peratus.
“Mangsa telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Gajah menjalankan operasi pemadaman dengan dibantu oleh anggota dari BBP Seri Iskandar.
Operasi diketuai Penolong Penguasa Bomba Muhammad Shahril Abas.
#Alang Halimah Amban #Batu Gajah #cacat penglihatan #Kampung Ara Payung #kebakaran rumah #Perak #warga emas OKU maut
;