Warga emas OKU jatuh perigi berjaya diselamatkan
Bernama
Jun 30, 2020 11:35 MYT
Jun 30, 2020 11:35 MYT
Seorang warga emas lelaki, yang juga orang kelainan upaya (OKU), nyaris maut apabila terjatuh ke dalam perigi sedalam lebih tiga meter di Kampung Malim Nawar Tin, Kampar pagi ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian menimpa P. Ramasamy, 71, pada pukul 7.27 pagi.
"Kami segera mengerahkan pasukan bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat Kampar ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan bagi menjalankan kerja-kerja menyelamat," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Beliau berkata anggota bomba bertindak menaikkan mangsa dengan menggunakan hos kecil yang diikat dengan kaedah gelung (loop) sehingga mangsa berjaya dibawa naik ke atas dengan selamat.
Katanya, operasi tamat pada pukul 8.05 pagi dan mangsa hanya mengalami kecederaan ringan serta mengalami luka-luka kecil akibat kejadian itu.
-- BERNAMA
#Balai Bomba dan Penyelamat Kampar
#hos kecil
#jatuh perigi
#Kampung Malim Nawar Tin
#OKU
#Ramasamy
#warga emas