Warga emas OKU hilang, ditemukan mati di Sungai Sarawak

Nuzuluddin Abdul Razak
Ogos 11, 2022 18:23 MYT
Mayat lelaki tersebut ditemui pekerja pembersihan ketika sedang melakukan aktiviti pembersihan sungai berkenaan sekitar jam 11.30 pagi tadi.
KUCHING: Misteri kehilangan warga emas yang juga orang kurang upaya (OKU) pada 9 Ogos lalu terjawab apabila mayatnya ditemui terapung di Sungai Sarawak berhampiran Kampung No. 6, Kuching pada Khamis.
Mayat lelaki tersebut ditemui pekerja pembersihan ketika sedang melakukan aktiviti pembersihan sungai berkenaan sekitar jam 11.30 pagi tadi.
Penemuan mayat tersebut kemudian dilaporkan kepada pihak pengurusan Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) dan pihak polis untuk tindakan lanjut.
Mayat mangsa ditemui dalam keadaan masih lengkap berpakaian, berbaju batik, berseluar biru muda dan berkasut hitam bersama-sama dompet yang dipercayai mengandungi data peribadi mangsa.
Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Superitendan Merbin Lisa, hasil siasatan awal pihak polis di lokasi kejadian telah mengenal pasti identiti mangsa sebagai lelaki berbangsa Cina, berusia 80 tahun.
“Mangsa telah dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya pada 9 Ogos lalu.
“Pemeriksaan awal terhadap tubuh badan mangsa pula tidak menemui sebarang kecederaan yang mencurigakan dan keadaan mayat mangsa dalam proses pereputan,” katanya.
Identiti mangsa katanya, kemudian dikenali sebagai Tan Phoo Leng, yang mengalami masalah pendengaran.
Mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk prosedur bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
Pihak polis menasihati orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian ini.
#Warga emas OKU #mati lemas #Sungai Sarawak #Kuching
;