Warga emas OKU ditemui tinggal dalam rumah uzur
Hilmi Malik
Februari 12, 2021 22:22 MYT
Februari 12, 2021 22:22 MYT
KUALA LUMPUR: Seorang warga emas berstatus orang kurang upaya (OKU) dikesan terpaksa tinggal dalam rumah usang dan uzur yang hampir roboh di Parit Pechah Laut, Muar, sejak enam bulan lalu.
Individu yang dikenali sebagai Pak Cik Hashim itu tinggal di dalam rumah yang strukturnya telah dimakan anai-anai selain atap yang bocor menyebabkan bahagian dalam rumah itu basah setiap kali hujan.
Difahamkan, Pak Cik Hashim menerima bantuan OKU (Tidak Berupaya Bekerja) sebanyak RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Kisah warga emas itu dikongsi Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, di laman Facebooknya, malam ini. Beliau turut membawa Pak Cik Hashim ke rumahnya untuk sementara sebelum dia ditempatkan di pusat jagaan.
"Saya ingin merayu kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar untuk meluluskan permohonan beliau (Pak Cik Hashim) untuk bina rumah baharu di atas tanah warisan yang sedang didiaminya melalui Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).
"Saya memohon sumbangan crowdfunding dari rakyat Malaysia yang ingin berkongsi. Tujuan crowdfunding ini adalah untuk membiayai kos sara hidup dan menyewa tempat tinggal sementara Pak Cik Hashim," katanya.