Warga emas muat naik hantaran bersifat palsu dipenjara enam bulan - MCMC
Bernama
Februari 25, 2025 23:30 MYT
Februari 25, 2025 23:30 MYT
Warga emas itu ditahan semalam sejurus waran tangkap dikeluarkan akibat kegagalannya menghadiri prosiding pertuduhan di mahkamah. - Gambar Bernama
PUTRAJAYA: Seorang warga emas dijatuhkan hukuman penjara enam bulan selepas gagal membayar denda RM30,000 atas kesalahan memuat naik kandungan bersifat palsu mengenai Yang di-Pertuan Agong dan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-268 menggunakan aplikasi Facebook miliknya.
Berdasarkan kenyataan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Johari Ismail, 67, yang melakukan kesalahan itu pada 8 Feb lepas, menjalani hukuman terbabit di Penjara Kajang bermula pada hari ini.
Menurut MCMC, Hakim Ahmad Fuad Othman menjatuhkan hukuman itu di bawah Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-dua sekali, di Mahkamah Sesyen, Sepang hari ini.
Selepas menjatuhkan hukuman, Hakim Ahmad Fuad menasihati bapa kepada empat anak itu agar menyedari lebih awal tentang kesan hantaran berkenaan kerana tindakan terbabit bukan sahaja menimbulkan kebencian kepada kerajaan, malah masyarakat turut memandang rendah terhadap Institusi Diraja.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya MCMC Faten Hadni Khairuddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Warga emas itu ditahan semalam sejurus waran tangkap dikeluarkan akibat kegagalannya menghadiri prosiding pertuduhan di mahkamah.
Pada kira-kira 11.30 pagi, 8 Feb, Johari memuat naik hantaran bersifat kandungan palsu dan diletakkan untuk tontonan umum yang mendakwa Majlis Raja-Raja membuat undian untuk mengambil tindakan terhadap kerajaan kerana ingkar melaksanakan dokumen tambahan melibatkan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Hantaran berkenaan kemudian dilihat pasukan siasatan MCMC di MCMC Tower 1, Jalan Impact, Cyberjaya, kira-kira 12.59 tengah hari pada 9 Feb.
-- BERNAMA