Warga emas mohon pemberian vaksin diadakan di Pulau Sebatik

Petrus Bernard
Jun 22, 2021 08:52 MYT
Lebih kurang 10,000 penduduk Pulau Sebatik layak menerima suntikan vaksin COVID-19 dan kini sedang giat didaftarkan secara manual. - Astro AWANI
TAWAU: Warga emas di sekitar Pulau Sebatik berharap agar kerajaan mewujudkan pusat pemberian vaksin COVID-19 di pulau itu.
Selain daripada kos perjalanan yang tinggi, keselamatan mereka juga terancam berikutan keadaan fizikal yang sudah semakin lemah.
Astro AWANI meninjau sekitar Jeti Awam Tawau bagi mendapatkan pelbagai reaksi penduduk Pulau Sebatik berkaitan pemberian vaksin melalui kaedah 'outreach' supaya dapat memberi kemudahan kepada mereka.
Nadira Nurdin, 68 tahun, penduduk Wallace Bay Pulau Sebatik, berharap agar pihak kesihatan boleh masuk ke Pulau Sebatik untuk memberikan suntikan vaksin kepada golongan warga emas.
"Kami ini warga emas, kami keluar masuk susah sikit, sebab kenderaan kadang-kadang tak ada. Kami orang tua, makcik harap mudah-mudahan petugas kesihatan masuk untuk bagi kami vaksin," katanya.
Sementara itu bagi Nuraini Bain, 40 tahun, berkata kedua ibu bapanya sudah berumur 67 tahun dan sekiranya warga emas terpaksa keluar dari pulau itu, mereka akan terdedah kepada jangkitan virus COVID-19.
"Mereka ada risiko tinggi, kedua nak turun naik perahu kan, jadi kita risau kalau jadi apa-apa. Sebab itu saya minta KKM datang sana untuk memudahkan semua warga emas," katanya.
Pegawai kesihatan Daerah Tawau, Dr. G Navindran yang ditemui berkata, pihaknya ambil maklum kesukaran penduduk pulau berkenaan dan program 'outreach' pemberian vaksin akan dilaksanakan ke pulau tersebut sebaik vaksin satu dos yang telah dimohon tiba.
"Kita akan pergi ke sana, mereka tak payah datang ke sini sebab kos tinggi kalau semuanya turun ke bandar, jadi satu pasukan kita akan pergi ke sana. Kalau dapat vaksin satu dos itu minggu depan, kita akan bawa ke sana," katanya.
BACA: Vaksin CanSino, Johnson & Johnson diluluskan untuk pendaftaran bersyarat
BACA: Vaksin dos tunggal CanSino sesuai digunakan di pedalaman Sarawak - Uggah
Untuk rekod, lebih kurang 10,000 penduduk Pulau Sebatik layak menerima suntikan vaksin COVID-19 dan kini sedang giat didaftarkan secara manual oleh Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat dengan bantuan ketua ketua kampung bagi memudahkan proses pemberian vaksin sekiranya vaksin satu dos tersebut tiba.
#COVID-19 #vaksin #Pulau Sebatik #PPV #warga emas #CanSino #satu dos #johnson and johnson
;