Warga emas meninggal dunia ketika aktiviti mendaki Bukit Kledang

Abd Razak Mohd Ali
Oktober 20, 2024 22:44 MYT
Seorang lelaki warga emas meninggal dunia ketika melakukan aktiviti mendaki Bukit Kledang, Pasir Puteh, petang tadi. - Foto JBPM Perak
IPOH: Seorang lelaki warga emas meninggal dunia ketika melakukan aktiviti mendaki Bukit Kledang, Pasir Puteh, dekat sini, petang tadi.
Mangsa yang dikenali sebagai Goon Swee Long, 71, dikatakan mengalami kepenatan dan sesak nafas sebelum pengsan berhampiran jalan menghala ke stesen pemancar pada ketinggian 800 meter dari aras laut.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira jam 4.23 petang.
Menurutnya, sebaik menerima panggilan kecemasan, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh digerakkan ke lokasi.
“Ketua Operasi mengarahkan anggota untuk memberikan rawatan awal dan membuat CPR (Cardio-Pulmonary Resuscitation) pada mangsa.
“Tidak lama kemudian, pegawai perubatan dari Kementerian Kesihatan telah hadir di lokasi dan mengesahkan bahawa mangsa telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan di sini.
Sabarodzi berkata, amggota bomba telah membantu mengangkat mayat mangsa menggunakan pengusung dan menyerahkan pada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi yang diketuai Penolong Kanan Penguasa Bomba Faiezaruddin Mohd Yusop tamat jam 6.28 petang.
#warga emas #aktiviti mendaki #Bukit Kledang #Goon Swee Long
;