Warga emas meninggal dunia di PPS akibat jangkitan kuman dalam darah

Bernama
Mac 6, 2023 23:03 MYT
Pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Yong Peng mengesahkan lelaki berusia 84 tahun itu meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam darah. - Gambar hiasan
BATU PAHAT: Seorang lelaki warga emas meninggal dunia di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Yong Peng, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Ismail Dollah berkata warga emas yang ditempatkan di PPS itu, Kasim Surip ditemukan tidak sedarkan diri oleh anak lelakinya berusia 56 tahun kira-kira 1.30 petang tadi.
Menurutnya, pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Yong Peng di sini, mengesahkan lelaki berusia 84 tahun itu meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam darah.
"Warga emas itu yang mempunyai penyakit kulit, batu karang, gastrik dan darah tinggi itu dipindahkan ke PPS pada Jumaat lepas sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat pada malam hari yang sama akibat sakit perut dan dimasukkan ke wad.
"Semalam, dia dibenarkan pulang dari hospital dan dibawa masuk semula ke PPS tersebut," kata Ismail dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, Kasim diberi makan pada 11.45 pagi tadi, tetapi dia muntah selepas itu dan diberi rehat di dalam khemah, sebelum ditemukan tidak sedarkan diri oleh anaknya.
Beliau berkata, jenazah mangsa telah dituntut keluarga dan dibawa ke Masjid Yong Peng sebelum dikebumikan di sebuah tanah perkuburan Islam di Yong Peng di sini.
-- BERNAMA
#warga emas meninggal dunia #PPS #jangkitan kuman #mangsa banjir
;