Warga emas meninggal dunia di kaki lima di pagi 1 Ramadan
Petrus Bernard
April 13, 2021 13:40 MYT
April 13, 2021 13:40 MYT
TAWAU: Seorang warga emas ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di hadapan deretan premis Jalan Chester, di sini pada Selasa.
Pasukan polis yang sedang melakukan rondaan dengan sebuah kenderaan MPV di kawasan tersebut dimaklumkan oleh orang awam berkaitan kejadian itu sekitar jam 10 pagi.
Ketika polis sedang membuat pemeriksaan, telefon bimbit mangsa berbunyi dan panggilan tersebut adalah dari anak mangsa yang sedang mencari mangsa.
Mangsa lelaki berumur 65 tahun itu dipercayai berasal dari Batu 4, Jalan Apas di sini.
Petugas kesihatan yang dihubungi polis bagaimanapun mengesahkan warga emas tersebut telah meninggal dunia.
Mangsa dibawa ke hospital menggunakan van jenazah pada jam 12.40 tengahari untuk proses bedah siasat.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Peter Umbuas mengesahkan kejadian itu ketika dihubungi.
Punca kematian masih dalam siasatan polis.