Warga emas menggeletar lihat rumah pusaka dua tingkat dijilat api
Adie Sufian Zulkefli
Jun 22, 2020 17:31 MYT
Jun 22, 2020 17:31 MYT
Tada apa yang mampu dilakukan Che Manis Abas selain daripada beristighfar tatkala melihat rumah pusaka dua tingkat yang didiaminya musnah dalam kebakaran.
Dalam masa sama, warga emas berusia 70 tahun itu bersyukur kerana ketika api marak menjilat kediamannya sekitar pukul 9.40 pagi Isnin itu, dia dan cucu tidak berada di dalam rumah.
Semasa kejadian di Kampung Permatang Paku, Tunjang, di sini, Che Manis dan cucu perempuannya sedang melakukan bancian baja di sekitar daerah ini manakala anak dan menantunya serta seorang lagi cucu yang turut mendiami rumah itu juga mempunyai urusan di luar.
"Tak sampai satu jam makcik keluar tapi bila balik tengok rumah dah musnah terbakar.
"Menggeletar badan makcik bila nampak api masih menyala di tingkat atas rumah dan ketika itu makcik hanya mampu beristighfar panjang,” kata Che Manis berkongsi perasaan sedihnya.
Jelas Che Manis, apabila dia sampai di rumah, ternampak api sedang marak di tingkat atas rumahnya.
"Ketar (tubuh), tiada satu benda pun yang sempat nak ambil, sekarang ini (kami) tiada satu benda pun yang tinggal," ujar Che Manis.
Menurutnya, kesemua perlatan dan kelengkapan rumah serta peribadi di tingkat atas dan bawah musnah dalam kebakaran itu dan hanya sebahagian kecil bahagian dapur kediaman yang selamat.
Sekalipun sedih dengan apa yang berlaku, namun Che Manis reda dan bersyukur kerana dia dan ahli keluarganya terselamat dalam kejadian itu.
Katanya, buat sementara waktu, mereka sekeluarga akan berteduh di bahagian dapur rumah berkenaan sementara menunggu rumah itu dibaiki sepenuhnya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 10 pagi.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra yang diketuai Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Bustan Karudin dikejarkan ke lokasi pada pukul 10.14 pagi.
Operasi disertai 11 anggota dari BBP Jitra bersama tiga jentera dan tiga Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari Air Hitam, Tunjang dan Taman Mutiara.
Setibanya anggota di tempat kejadian di dapati kebakaran membabitkan rumah kelas B dua tingkat dan ketika itu api sedang marak.
Mohamadul Ehsan berkata, punca dan nilai kerugian masih dalam siasatan.