Warga emas mengaku bersalah cabul kanak-kanak tujuh tahun

Muhafandi Muhamad
September 28, 2021 14:24 MYT
Tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan. - Foto Astro AWANI
KOTA BHARU:

Seorang warga emas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini, atas dakwaan melakukan kesalahan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun pada Jun tahun lalu.

Tertuduh yang juga seorang buruh berusia 61 tahun membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa terhadapnya di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Mengikut pendakwaan, tertuduh melakukan jenayah seksual dengan menggesel kemaluannya pada mangsa yang juga anak kepada rakannya dalam kejadian pada bulan Jun 2020 kira-kira jam 2 petang di halaman sebuah di Selising, Pasir Puteh.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta yang sama.
Sehubungan itu tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fariz Abdul Hamid, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudiannya menetapkan tarikh 20 Oktober depan untuk sebutan fakta kes dan menjatuhkan hukuman.

#warga emas #cabul kanak-kanak #Kota Bharu #Mahkamah Sesyen
;