Warga emas memandu mabuk didenda RM6,000

Astro Awani
Jun 11, 2020 15:17 MYT
Syed Mahmood Syed Nazimuddin, 71, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Siti Huzaifah Abdul Talib.
Seorang pesara didenda RM6,000 di Mahkamah Majistret Port Dickson di sini pada Rabu selepas mengaku bersalah memandu di bawah pengaruh alkohol.
Syed Mahmood Syed Nazimuddin, 71, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Siti Huzaifah Abdul Talib.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu ketika ditahan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson dalam 'Op Mabuk' di Jalan Kampung Baru Si Rusa pada jam 11.05 malam, 6 Jun lalu ketika memandu sebuah kereta jenis Mercedes Benz.
Ujian kemudian menunjukkan bacaan 211 miligram alkohol dalam 100 mililiter darah yang mana melebihi had ditetapkan iaitu 80 mg alkohol/100 mililiter darah.
Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 45a(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan denda tidak kurang RM1,000 dan tidak melebihi RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan.
Tertuduh yang hadir ke mahkamah bersendirian tanpa ditemani ahli keluarga kemudian membayar denda berkenaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Zainul Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
#alkohol #haram #Islam #memandu mabuk #minum arak #minuman keras #pesara #Port Dickson #warga emas
;