Warga emas maut, tujuh cedera dalam kemalangan tiga kereta
Bernama
Jun 29, 2017 22:58 MYT
Jun 29, 2017 22:58 MYT
Seorang warga emas maut manakala tujuh lain cedera dalam kemalangan membabitkan dua kereta Perodua Alza dan sebuah Toyota Vios di KM5 Jalan Perani-Lok Heng, dekat Kota Tinggi, hari ini.
Kejadian pada kira-kira 4.10 petang itu menyebabkan Abd Rauf Yaakob, 80, yang berasal dari Baling, Kedah dan merupakan penumpang hadapan kereta Perodua Alza, meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Ahsmon Bajah berkata kejadian dipercayai berlaku apabila Perodua Alza dinaiki Abd Rauf dari arah Kota Tinggi menghala ke Perani tiba-tiba hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu bergesel dengan dua kereta lain.
"Kemalangan menyebabkan penumpang hadapan Perodua Alza (Abd Rauf) berkenaan maut, pemandunya seorang wanita berusia 30 tahun bersama seorang penumpang belakang cedera parah.
"Tiga lagi penumpang belakang yang kesemuanya turut berasal dari Baling, mengalami cedera ringan," katanya.
Ahsmon berkata pemandu dan penumpang Toyota Vios yang berasal dari Kuala Terengganu, turut cedera ringan manakala pemandu sebuah lagi Perodua Alza yang berasal dari Pasir Gudang, Johor Bahru tidak mengalami kecederaan.
Beliau berkata mayat Abd Rauf dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat dan kesemua mangsa yang terlibat dalam kemalangan berkenaan turut dirawat di hospital sama.
-- BERNAMA
#Abd Rauf Yaakob
#dua kereta
#Jalan Perani
#kemalangan
#Kota Tinggi
#Lok Heng
#Perodua Alza
#Toyota Vios
#warga emas