Warga emas maut tertembak diri sendiri dalam kebun durian
Adie Sufian Zulkefli
Jun 20, 2022 15:44 MYT
Jun 20, 2022 15:44 MYT
KULIM: Seorang lelaki warga emas maut apabila dipercayai tertembak diri sendiri ketika berada dalam kebun durian miliknya di Kampung Kongsi Dalam, Sungai Kob Karangan, dekat sini, pada Ahad.
Ketua Polis Daerah, Kulim Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, mayat mangsa berusia 70 tahun itu ditemui seorang penoreh getah dalam keadaan terbaring berlumuran darah pada pukul 9 pagi.
“Kerana takut selepas mengejutkan mangsa beberapa kali tidak sedarkan diri saksi terbabit bertindak menghubungi polis untuk memaklumkan kejadian.
“Saksi memaklumkan dia berjumpa dengan mangsa pada pukul 7 pagi ketika itu mangsa hendak masuk ke kebun dipercayai untuk mengutip buah durian.
“Waktu itu mangsa memang menggalas senapang patah di bahunya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Redzuan Salleh berkata, hasil siasatan di dalam sebuah pondok yang terletak 700 meter dari mayat mangsa menemui cebisan isi dipercayai tangan mangsa pada dinding pondok.
Katanya, polis turut menjumpai selaras senapang patah di tepi dinding sebelah kanan dalam pondok tersebut dan sebuah motosikal jenis Honda EX5 milik mangsa.
“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah ‘exsanguination due to gunshot to the right upper arm’ (pendarahan akibat tembakan).
“Siasatan awal polis mendapati senjata mangsa telah meletup secara tidak sengaja,” katanya.
Redzuan memaklumkan, hasil semakan polis mendapati senapang patah terbabit didaftarkan atas nama mangsa.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.