Warga emas maut terperangkap dalam rumah terbakar

Muhafandi Muhamad
Jun 2, 2020 02:30 MYT
Kebakaran awal pagi ini mengakibatkan rumah kayu berserta tiga buah kenderaan hangus terbakar. - Astro AWANI
Seorang warga emas maut apabila terperangkap dalam kebakaran melibatkan sebuah rumah kayu di Jalan Lama Wakaf Baru, di sini, awal pagi ini.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Zainab Abdul Rahman, 76 tahun.
Menurut Ketua Zon Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kota Bharu, Penguasa Kanan Bomba II Syobirin Abd Kadir, dalam kebakaran sekitar jam 4.40 pagi itu, salah seorang anak mangsa turut melecur di tangan.
“Semasa kebakaran terdapat seorang mangsa terperangkap dan seorang lagi melecur di tangan. Kita kejarkan mangsa ke Hospital Tumpat,” katanya.
Menurut Syobirin lagi, mayat mangsa ditemui di kawasan ruang tamu rumah kayu berkenaan.
Kebakaran itu menyebabkan rumah kayu beserta tiga buah kenderaan hangus terbakar.
Pihaknya bersama 28 orang anggota bomba dan penyelamat berjaya mengawal kebakaran dari merebak ke rumah berhampiran.
Sementara itu, adik mangsa, Zawiyah Abdul Rahman memaklumkan, mangsa tinggal bersama anak dan cucunya.
Menurutnya, pada awalnya, mangsa dikatakan sudah keluar dari rumahnya, namun masuk kembali untuk mengambil barangan.
Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk bedah siasat.
#hangus #Hospital Raja Perempuan Zainab II #Hospital Tumpat #kebakaran #kenderaan #maut #melecur #rumah #rumah kayu #Syobirin Abd Kadir #Tumpat #warga emas