Warga emas maut terperangkap dalam lumpur

Shuhada Abdul Kadir
November 20, 2020 00:03 MYT
Menurut pihak bomba, mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk tindakan selanjutnya. - Foto ihsan bomba
MELAKA: Seorang warga emas maut selepas dipercayai lemas akibat terperangkap dalam lumpur ketika membuat kerja-kerja semaian padi di Kampung Batang Tiga, Klebang di sini malam tadi.
Mangsa Ramli Samat, 68, ditemui dalam keadaan tertiarap di kawasan sawah padi berkenaan oleh anggota keluarga yang keluar mencarinya kira-kira jam 7.40 malam selepas tidak pulang ke rumah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu, Penolong Penguasa Bomba Roslan Jalil berkata, pihaknya terima panggilan pada jam 7.44 malam sebelum sembilan anggota bergegas ke lokasi kejadian.
“Maklumat awal kita terima, mangsa yang merupakan pesawah itu pada awalnya pergi ke kawasan sawah bersama dua lagi rakannya, namun mereka pulang lebih awal daripada mangsa selepas selesai menguruskan sawah masing-masing.
“Apabila hari sudah gelap dan mangsa masih belum pulang ke rumah, ahli keluarganya datang cari bapa mereka di kawasan sawah itu dan menemuinya dalam keadaan tertiarap yang mana bahagian muka sepenuhnya di dalam lumpur,” katanya ketika dihubungi di sini malam ini.
Mengulas lanjut ujarnya, setibanya di lokasi pasukan bomba cuba membuat penyelamatan awal dengan memberi bantuan pernafasan kepada mangsa sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang hadir.
“Kita percaya mangsa cuba bangun selepas dipercayai terjatuh, namun faktor tanah yang berair memandangkan sekarang ini adalah musim menyemai padi menyebabkan dia gagal berbuat demikian.
“Setiba di lokasi, ahli keluarga mangsa sudah mengangkat dan memangku warga emas itu lebih awal dan kita cuba beri bantuan pernafasan sebelum turut dibantu oleh pasukan perubatan,” tambahnya.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk tindakan selanjutnya.
#warga emas #terperangkap dalam lumpur #Kampung Batang Tiga #lemas #Klebang #Ramli Samat #BBP Tangga Batu #Hospital Melaka
;