Warga emas maut terperangkap dalam kebakaran
Azee Shafy
April 8, 2022 21:34 MYT
April 8, 2022 21:34 MYT
KUANTAN: Seorang lelaki warga emas ditemukan maut selepas rumahnya di Pangsapuri Medan Warisan dekat Jalan Tanah Putih, di sini terbakar hari ini.
Ramle Mohamad, 64, yang melecur 40 peratus anggota badan dan muka, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.14 petang.
"Kejadian kebakaran itu berlaku di tingkat dua pangsapuri berkenaan, dan kami mendapati lelaki itu terperangkap di dalam rumah.
"Mangsa yang melecur hampir 40 peratus di bahagian badan dan muka disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian mengikut makluman awal daripada kakitangan KKM," katanya.
Berdasarkan siasatan awal, anggaran kemusnahan akibat kebakaran adalah sebanyak 30 peratus, dan punca kebakaran masih dalam siasatan.