Warga emas maut terjatuh longkang di Kuala Sepetang

Abd Razak Mohd Ali
Mei 22, 2021 13:20 MYT
Mayat itu ditemui dalam longkang di kawasan berdekatan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Poey Eng, Kuala Sepetang. - Foto ihsan PDRM
TAIPING: Seorang warga emas maut selepas dipercayai terjatuh dalam longkang di kawasan perumahan Rumah Murah Kuala Sepetang, dekat sini, hari ini.
Mayat Yeoh Liong Hee, 71, ditemui orang awam kira-kira jam jam 8.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, mayat itu ditemui dalam longkang di kawasan berdekatan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Poey Eng, Kuala Sepetang.
Menurutnya, pihak polis dengan bantuan anggota bomba dan Kementerian Kesihatan (KKM) menarik mayat keluar dari longkang sebelum melakukan pemeriksaan awal serta sanitasi COVID-19.
“Pemeriksaan pada tubuh si mati mendapati tiada unsur-unsur jenayah,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, anak si mati yang membuat pengecaman mengakui warga emas itu merupakan bapanya.
Menurut Osman, mayat telah dibawa ke Hospital Taiping untuk tujuan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
“Bedah siasat akan dilakukan selepas memperolehi keputusan ujian saringan COVID-19,” ujarnya.
#mayat #warga emas #longkang #terjatuh
;